Sejarah Wau Kapal Selangor

Wau kapal merupakan sejenis layang-layang yang popular di Selangor. Ia merupakan wau tradisional yang telah dimainkan secara turun-temurun di Malaysia. Wau Kapal merupakan wau rasmi bagi negeri Selangor. Wau Kapal terbahagi kepada 2 jenis iaitu wau kapal tradisional dan wau kapal moden. Wau kapal tradisional menerapkan hiasan menggunakan teknik telepuk, tebuk dan tampal manakala wau kapal moden lebih mudah untuk dihasilkan kerana tiada motif hiasan seni tradisional.

Meskipun penghasilan wau kapal tradisional agak rumit, ia mempunyai keunikan dan keistimewaan tersendiri berbanding wau kapal moden. Teknik telepuk, tebuk dan tampal adalah warisan berzaman dari negeri Selangor dan dipercayai wujud lebih 300 tahun dahulu.   Teknik telepuk ini menggunakan pelbagai kertas warna yang diukir dengan bunga kecil kemudian ditebuk dan diulang beberapa lapis untuk dijadikan corak. 

Wau Kapal atau Layang-layang Kapal dikatakan mula popular dimainkan sejak tahun 1940-an lagi di negeri Selangor, terutama oleh penduduknya yang tinggal di pesisiran pantai dan bekerja sebagai nelayan.

Menurut sumber yang dipercayai, anak-anak nelayan yang menunggu bapa mereka pulang ke pangkalan akan menaikkan wau tersebut sebagai penunjuk kedudukan daratan dan kedudukan sebenar pangkalan kerana nelayan-nelayan tersebut tidak mempunyai sebarang kemudahan penunjuk arah seperti rumah api yang ada pada hari ini. Reka bentuk ekor wau tersebut menyerupai sebuah perahu manakala bahagian sayap dan kepalanya adalah sama seperti wau tradisional Melayu yang lain. Maka perkataan ‘kapal’ dianggap lebih sesuai berbanding dengan perahu untuk dijadikan tema bagi wau yang mereka cipta.


Rujukan:

Comments

Popular Posts